Masalah pengawalan air kencing kerap berlaku pada wanita berusia. Jika mereka mahu
mengerjakan haji atau umrah, apakah saranan Ustazah?
Selalunya memang bila seseorang perempuan bertambah umur, kesihatan badan juga terusik.
Pakar kesihatan memang telah mengesahkan perkara ini. Apatah lagi sekiranya wanita
yang telah beberapa kali melahirkan anak, kekuatan organ dalaman juga terusik sama.
Kadang-kadang apabila seseorang wanita berusia mengalami batuk-batuk, ketawa yang
kuat dan terbahak-bahak, air kencing juga terkeluar tanpa dapat ditahan.
Keadaan yang sama juga berlaku di mana kadang-kadang keluar cecair dari alat kelamin
wanita yang bersifat likat ataupun cair. Cecair yang keluar berbentuk agak likat
itu disebut air wadi, manakala yang lebih cair disebut air mazi. Dari segi hukum,
air kencing, air mazi dan air wadi adalah najis mutawassitah atau najis pertengahan.
Maksudnya ia perlu dibersihkan terlebih dahulu sebelum kita mengerjakan solat atau
apa-apa Ibadah. Jika terkena kain atau pakaian dalam, ia adalah najis dan tidak
boleh dibawa ke dalam solat. Jika tidak, sembahyang kita menjadi batal dan tidak
sah.
Jadi, seseorang wanita perlu mengambil berat perkara ini. Apatah lagi jika ingin
mengerjakan umrah dan haji, saya cadangkan dia perlu merujuk kepada doktor pakar
tentang perkara ini dan mengambil beberapa langkah munasabah untuk mengatasinya.
Adakah masalah ini mengganggu ibadah haji atau umrah mereka?
Ya.. masalah ini boleh mengganggu kelancaran ibadah haji atau umrah seseorang wanita.
Dari segi pembersihan berdasarkan kaedah Syarak, kita perlu membasuh dan membersihkan
najis tersebut. Contohnya, jika seseorang wanita ingin duduk di masjidil haram selama
beberapa jam, dari jam 4 pagi sebelum subuh, melakukan tawaf dan solat subuh di
masjid, dia perlu mengambil kira perkara ini supaya ibadahnya sah dan diterima.
Kita tidak boleh mengambil mudah urusan air kencing, air mazi dan wadi ini.
Apakah langkah mengatasinya?
Pertama, kita perlu jelas tentang hukum dan kaedah pembersihan. Tidak boleh terlalu
memudahkan dan tidak boleh pula terlalu memberatkannya. Dalam keadaan apapun, seseorang
wanita perlu menjaga kebersihan diri sebaiknya sama ada ketika mengerjakan umrah, haji ataupun tidak.
Caranya begini, katakan seorang wanita yang tidak dapat menahan air kencing atau
mazi dan wadi tadi, sebelum solat atau mengerjakan tawaf, dia perlu membersihkan
alat kelaminnya, menggantikan ‘pad’ yang dipakainya dan hendaklah bersegera mengerjakan
solat wajibnya atau tawafnya. Jika air tersebut keluar semasa dia mengerjakan solat
atau tawaf, maka ketika itu hukumnya dimaafkan dan ibadahnya sah.
Hukumnya sama dengan wanita yang kena istihadahah. Perbezaannya istihadah itu darah
yang keluar berterusan. Namun begitu, harus kita ingat bahawa wudhu’ yang sama boleh
digunakan untuk mengerjakan solat sunat atau ibadah sunat selepas ibadah wajib tersebut.
Apakah produk-produk yang sesuai yang boleh digunakan untuk mengatasi
Kaedah biasa yang saya boleh sarankan adalah memakai ‘pad’ atau alas yang munasabah
agar tidak terkena pada pakaian sekiranya terkucil. Nama bahan tidak menjadi masalah,
yang penting ianya dibuat dari bahan yang suci. Wanita tersebut perlu membuangnya
selepas menggunakan dan menggantikan dengan yang baru sebelum mengerjakan ibadah
wajib. Itu yang penting dijaga. Pada masa yang sama, jangan lupa selalu berdoa agar
Allah memberi kesihatan yang baik, dapat tahan air kencing, tahan keluar angin (kentut),
air mazi dan wadi serta dapat menjalankan ibadah haji dan umrah dengan sebaiknya dan diterima Allah.